Salam/Welcome!

Salam kepada semua pembaca sekalian!


Malaysia merupakan sebuah negara yang membangun. Rakyat Malaysia kini bergerak laju mengejar negara- negara maju yang bergerak di hadapan. Oleh hal yang demikian, pelbagai isu- isu baru mula timbul di negara kita ini, antaranya ialah isu undang- undang siber ataupun lebih dikenali sebagai jenayah siber.


Kami berempat, Izzat Al Faris, Arif Zulhilmi, Afiq Taqiudin dan Nurhanisah akan cuba mengupas isu- isu jenayah siber yang berlaku pada masa kini. Segala tulisan kami akan dibahagikan mengikut tab nama kami. Selamat membaca, sekian, terima kasih!

Izzat Al Faris


Ringkasan Akta Jenayah Komputer 1997




Ramai antara rakan saya bertanya Akta manakah digunakan untuk merujuk undang- undang yang menyelenggara undang- undang siber? Di sini, saya cuba meringkaskan Akta Jenayah Komputer 1997 untuk kemudahan pembaca sekalian. Sebenarnya jenayah siber ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
1.      Jenayah Siber Terhadap Harta Benda
2.      Jenayah Siber Terhadap Manusia
Kategori- kategorinya pula ialah:
CURI
1) Maklumat
Senarai, rekod, email peribadi
2) Harta
Meminahkan wang dari satu akaun ke akaun yang lain
3) Perkhidmatan
Capaian tanpa kuasa di laman web berbayar

PENIPUAN
Multilevel marketing/sistem piramid, peluang perniagaan, lelongan, jualan barangan, tawaran kad kredit, pinjaman pendahuluan, tawaran pekerjaan

PEMALSUAN
Meminda dokumen bagi memperdaya orang lain melalui laman web

KHIANAT
-Vandalisma siber: meminda laman web umum
-Pencerobohan siber : ceroboh laman web persendirian yang perlu guna kata laluan.
-Menyebarkan virus
-Pornografi dan pengedaran bahan-bahan lucah
-Gangguan Siber (cyber-harrasment)
-Pencerobohan Siber
- Memecah masuk ke laman web
- Memecah masuk ke komputer persendirian

KEGANASAN SIBER
Serangan terancang terhadap maklumat yang terkandung di dalam komputer, program komputer dan data yang menyebabkan keganasan berlaku terhadap rakyat yang tidak berdaya oleh sekumpulan orang atau agen tertentu.
Di bawah ini pula ialah kesalahan yang terdapat di dalam Akta Jenayah Komputer beserta denda yang diperuntukkan.

Kesalahan        : Membuat capaian mana-mana komputer tanpa diberi kuasa.
Denda             : Tidak melebihi RM 50,000.00 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali


Kesalahan        :Melibatkan fraud atau kecurangan atau yang menyebabkan kecederaan
Denda             : Tidak melebihi RM 150,000.00 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali

Kesalahan        : Pengubahsuaian tanpa kuas kandungan mana-mana komputer.
Denda             : Tidak melebihi RM 100,000.00 atau penjara 7 tahun atau kedua-duanya sekali

Kesalahan        : Menyimpan maklumat tanpa kuasa dalam komputer di bawah kawalan disifatkan telah  memperolehi capaian tanpa kuasa
Denda             : (sama seperti denda memperolehi capaian komputer tanpa kuasa)

Akta Jenayah Komputer 1997 ini digunakan terhadap sesiapa tanpa mengira kewargenaraan seseorang. Kesalahan di bawah akta ini boleh berlaku di mana-mana sahaja tidak kira sama ada di dalam atau di luar Malaysia asalkan ia melibatkan komputer yang berada di Malaysia. Moga post ini dapat membantu pembaca, sekian!



Jenayah Capaian Tanpa Kuasa



Banyak kita dengar pada masa kini tentang permasalahan capaian tanpa kuasa. Apakah itu sebenarnya capaian tanpa kuasa?

Menurut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997,
“Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan jika:
(a) dia menyebabkan suatu komputer melaksanakan apa- apa fungsi dengan niat untuk mendapat capaian kepada mana-mana atur cara atau data yang disimpan dalam mana-mana komputer;
(b) capaian yang dia berniat untuk didapati adalah tanpa kuasa; dan
(c) dia tahu semasa dia menyebabkan komputer itu melaksanakan fungsi itu, demikian berlakunya.”

Mengikut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997, kesalahan capaian tanpa kuasa ialah suatu kesalahan di mana seseorang telah melakukan capaian kepada mana- mana atur cara atau data yang bukan miliknya kepada mana- mana komputer dan dia berniat dan tahu perbuatannya itu ialah untuk melakukan capaian tersebut.

Niat telah ditafsirkan di dalam Seksyen 3(2) Akta Jenayah Komputer,
“Niat seseorang itu untuk melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini tidak perlu ditujukan:
(a) mana- mana atur cara atau data yang tertentu;
(b) apa- apa bentuk atur cara atau data yang tertentu; atau
(c) suatu atur cara atau data yang disimpan dalam mana- mana komputer yang tertentu.”

Seksyen 3(2) Akta Jenayah Komputer 1997 telah menjelaskan bahawa walaupun seseorang itu tidak berniat melakukan capaian tanpa kuasa terhadap sesuatu atur cara atau data, niat itu ialah tidak material. Hanya niat melakukan capaian tanpa kuasa diambil kira di bawah peruntukan tersebut. Hal ini menunjukkan walaupun sesorang itu hanya berniat melakukan capaian tanpa kuasa kepada data milik A, tetapi telah melakukan capaian tanpa kuasa pada data milik B, seseorang itu masih boleh didakwa di bawah peruntukan ini kerana dia masih telah melakukan capaian tanpa kuasa,

Peruntukan di bawah Seksyen 3(2) ini telah diadakan untuk mengelakkan seseorang daripada melakukan capaian tanpa kuasa walaupun kepada mana- mana komputer. Peruntukan ini boleh dianggap sebagai suatu perisai untuk menyekat pencerobohan privasi mana- mana orang daripada dicabuli dengan cara capaian tanpa kuasa.

Selain itu, perkataan “fungsi” yang terdapat di dalam Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997 telah ditafsirkan oleh Seksyen 2(1) Akta Jenayah Komputer 1997,
“Fungsi termasuklah logik, kawalan, aritmetik, hapusan, storan dan dapatan semula dan komunikasi atau telekomunikasi kepada, daripada atau dalam sesuatu komputer.”
Maka, boleh disimpulkan di sini di mana apabila seseorang melakukan capaian tanpa kuasa, logik, kawalan, aritmetik, hapusan, storan dan dapatan semula dan komunikasi atau telekomunikasi kepada, daripada atau dalam sesuatu komputer adalah cara atau kaedah yang dikira sebagai fungsi untuk melakukan capaian tanpa kuasa.

Selain itu, perbuatan melakukan jenayah capaian tanpa kuasa telah didefinasikan menurut Seksyen 2(2) Akta Jenayah Komputer 1997, iaitu

“Bagi maksud Akta ini, seseorang mendapat capaian kepada mana- mana atur cara atau data yang disimpan dalam komputer jika, dengan menyebabkan komputer itu melaksanakan apa- apa fungsi, dia:
(a) mengubah atau memadamkan atur cara data;
(b) menyalin atau mengalihnya ke mana- mana bahantara storan selain dari di mana ia disimpan atau ke tempat lain dalam bahantara storan di mana ia disimpan;
(c) menggunakannya; atau
(d) menyebabkan ia dioutput daripada komputer di mana ia disimpan sama ada dengan mengakibatkan ia dipaparkan atau mengikut apa- apa cara lain,
dan rujukan kepada capaian kepada suatu atur cara atau data dan kepada suatu niat untuk mendapat capaian sedemikian hendaklah ditafsirkan sewajarnya.”

Peruntukan ini juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk menentukan dan memberi definisi sama ada perbuatan tersebut ialah capaian tanpa kuasa atau tidak.

Selain itu, Seksyen 2(5)  Akta Jenayah Komputer 1997 juga telah menjelaskan dengan lebih lanjut apakah itu capaian tanpa kuasa iaitu,
“Bagi maksud Akta ini, capaian dalam apa- apa bentuk oleh mana-mana orang kepada apa-apa atur cara atau data yang disimpan dalam komputer adalah tanpa kuasa jika :
(a) dia sendirinya tidak berhak untuk mengawal capaian dalam bentuk yang berkenaan kepada atur cara atau data itu; dan
(b) dia tidak mempunyai keizinan atau melebihi apa-apa hak atau kebenaran untuk mencapai olehnya dalam bentuk yang berkenaan kepada ataur cara data itu daripada mana-mana orang yang berhak.”

Kesimpulannya, berdasarkan peruntukan- peruntukan yang telah diberikan Akta Jenayah Komputer 1997, jenayah capaian tanpa kuasa ialah suatu jenayah di mana seseorang itu telah berniat memasuki data atau atur cara yang mana ia tidak mempunyai kuasa terhadapnya dan capaian itu adalah dengan pengetahuannya.

Jika seseorang itu melakukan jenayah capaian tanpa kuasa dengan niat untuk melakukan kesalahan lain, maka dia juga boleh betanggungan di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 iaitu capaian tanpa kuasa bagi melakukan kesalahan lanjut.

“Seseorang adalah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini jika dia melakukan suatu kesalahan yang disebut dalam seksyen 3 dengan niat
(a) untuk melakukan suatu kesalahan yang melibatkan fraud atau kecurangan atau yang menyebabkan kecederan sebagaimana yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan; atau
(b) untuk memudahkan berlakunya suatu kesalahan itu sama ada olehnya sendiri atau oleh mana-
mana orang lain.”

Selain itu juga, mengikut Seksyen 4(2) 4 Akta Jenayah Komputer 1997, adalah tidak material sama ada kesalahan itu dilakukan pada masa yang sama ataupun pada masa yang lain. Tertuduh akan bertanggungan di bawah peruntukan ini walaupun jenayah- jenayah tersebut tidak dilakukan pada suatu masa yang sama. 
Untuk memahami dengan lebih lanjut apakah itu jenayah capaian tanpa kuasa, adalah lebih baik kita merujuk kepada kes- kes yang terdahulu. Antaranya ialah:

1. Attorney-General’s Reference (No. 1 of 1991) [1]
2. Kes Garyl Tan Jia Luo
3. R v Thompson[2]
4. Kes Mohd. Aizul Abd. Manaf

Di dalam kes Attorney-General’s Reference (No. 1 of 1991), seorang bekas pekerja sebuah kedai pemborong kunci telah pergi melawat bekas majikannya bagi tujuan membeli sedikit barang. Namun, semasa berseorangan didalam bilik di dalam kedai tersebut kerana pembantu kedai tersebut telah keluar sebentar dari bilik tersebut, pekerja tersebut telah menggunakan komputer di dalam bilik tersebut untuk memberi diskaun kepada barangan yang dia beli.

Tertuduh telah diputuskan bersalah mengikut Seksyen 1 Computer Misuse Act 1990 United Kingdom, pari materia dengan Seksyen 3 Akta Jenayah Komputer 1997 Malaysia.

Di dalam kes Garyl Tan Jia Luo pula, tertudah telah memasuki tanpa kebenaran talian wifi jirannya. Tertuduh telah diputuskan bersalah mengikut Seksyen 3 Computer Misuse Act Singapore[3] dan telah dikenakan hukuman probasi selama 18 bulan.

Kes ketiga, R v Thompson pula ialah mengenai tertuduh yang merupakan seorang pengatur cara komputer yang bekerja di sebuah bank di Kuwait. Semasa dalam perkhidmatannya, Thompson(tertuduh) telah merancang untuk menipu pihak bank. Maklumat mengenai akauan pelanggan disimpan di dalam komputer dan ada diantara akaun tersebut yang tidak aktif (tiada transaksi dalam masa yang panjang). Thompson mencipta sebuah program yang diguanakannya untuk mengarahkan komputer untuk memindahkan akaun- akaun yang tidak aktif ini ke akauannya yang dibuka di bank tersebut. Bagi mengurangkan risiko daripada dikesan, maka pemindahan wang hanya dibuat setelah Thompson meletak jawatan dan dia di dalam perjalanan pulang ke England. Setibanya dia di England, Thompson pun membuka akauan di sebuah bank lain, dan dia menghantar surat kepada bank di Kuwait bagi memindahkan kesemua wangnya dari bank Kuwait ke England. Walaupun di dalam kes ini dakwaan sukar dibuat di bawah kesalahan mencuri atau mendapatkan harta secara tipuan pada peringkat awal perbicaraan, tertuduh masih boleh dikenakan tanggungan jenayah di bawah seksyen 4 pada peringkat di mana Thompson mendapat capaian pada data dengan niat untuk meminda data tersebut bagi memudahkan berlakunya kesalahan jenayah yang seterusnya. Untuk bertanggungan di bawah seksyen 4, adalah tidak perlu untuk dipastikan sama ada kesalahan jenayah seperti curi dan tipuan yang bakal dilakukan itu telah lengkap ataupun tidak.Adalah memadai jika kesalahan capaian tanpa kuasa dilakukan dan niat untuk melakukan kesalahan jenayah selanjutnya telah wujud untuk bertanggungan di bawah seksyen ini.

Kes seterusnya ialah kes yang telah berlaku di Malaysia sendiri.  Di dalam kes Mohd. Aizul Abd. Manaf, tertuduh telah didakwa memindahkan wang pelanggan menggunakan perkhidmatan e-bank (electronic bank) tanpa kebenaran pelanggan tersebut. Dia telah bertanggungan di bawah seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan telah dihukum di bawah seksyen 4(3) Akta Jenayah Komputer 1997.



[1] [1992] 3 WLR 432
[2] [1984] 1 WLR 962
[3] Chapter 50A


torrent = jenayah



Saya sering terlihat pelbagai komen daripada forum- forum tidak kira di Malaysia dan di diluar negara mengatakan torrent merupakan suatu jenayah. Namun sejauh manakah kebenaran perkara tersebut? Mari kita selidik satu demi satu.

Yang pertamanya, ramai orang telah menganggap torrent adalah suatu premis atau kedai yang digunakan sebgai tempat transaksi untuk melakukan aktiviti piracy. Namun, definisi sebenar torrent ialah perkongsian sesuatu dokumen atau data secara beramai- ramai kepada semua orang. Torrent boleh dianggap sebagai sebuah “peralatan”, maka baik atau salah terpulang kepada orang yang menggunakannya.

Pelbagai agensi yang menyokong hakcipta menolak torrent seratus peratus. Hal ini kerana mereka beranggapan laman torrent merupakan tempat utama berlakunya piracy. Kenyataan ini memang benar, lebih 99% isi kandungan torrent telah melanggar hakcipta. Merujuk kes di USA, sebuah laman web (Isohunt) yang membekalkan torrent file telah didapati bersalah terhadap pelanggaran hakcipta. Kini, mereka masih menunggu prosiding di mahkamah rayuan di bawah Ninth Circuit.

Proses melakukan torrent


Maka, dapat disimpulkan di sini, pembekal- pembekal torrent harus akur kebanyakan pembekalan file torrent telah melanggar hakcipta. Namun, penciptaan Torrent itu sendiri tidaklah salah, ianya merupakan teknologi, kesalahan terletak kepada mereka yang menyalah gunakan teknologi tersebut. Sama ada anda menyokong perkara ini atau tidak, timbang tarakan lah sama ada torrent ini memberi lebih manfaat atau kemudaratan, sekian.

Seksyen 8 Akta Jenayah Komputer 1997: Penyekatan Kebebasan?



Seksyen 8 Akta Jenayah Komputer 1997 ialah satu peruntukan yang meletakkan tangguggan pembuktian kepada tertuduh yang dia tidak bersalah terhadap jenayah capaian tanpa kuasa. Seperti yang kita bincang dalam bab- bab yang lepas, peruntukan ini mempunyai kebaikkan dan juga keburukan. Antara yang menjadi isu utamanya ialah peruntukan ini akan menyekat kebebasan dan menyusahkan pengguna komputer. Namun, sejauh manakah kebenarannya akan kita kupas dalam bab ini.

Sebelum kita bincangkan dengan lebih lanjut tentang perkara ini, adalah lebih baik kita mengerti apakah itu sebenarnya kebebasan yang dituntut oleh pengguna komputer? Mengungkap kembali kata Ted Nelson, “fungsi utama penciptaan manusia ialah kebebasan manusia”[1]. Brian Harvey, pensyarah di University of California, Berkeley merumuskan kebebasan berkomputer boleh dikategorikan kepada dua, iaitu kepelbagaian dan inisiatif[2].

Kepelbagaian yang dimaksudkan oleh Brian Harvey ialah kepelbagaian dalam penggunaan komputer. Beliau mencadangkan penggunaan sistem komputer supaya tidak menjurus kepada satu perkara sahaja, contohnya permainan video sahaja. Beliau menggambarkan kebolehan komputer sebagai satu alatan yang mampu membina suatu alatan lain. Maka, dari sudut ini, kebebasan kepelbagaian yang dituntut oleh Brian Harvey ialah kepelbagaian dalam penggunaan komputer untuk melakukan sesuatu aktiviti.

Seterusnya, kebebasan dari sudut inisiatif. Di sini, beliau telah mengambil contoh pengambilan kursus yang ditawarkan di universitinya. Belaiu mengatakan seorang pelajar telah dianggap sebagai satu objek pendidikan. Mereka hanya mempunyai kebebasan memilih, tetapi tidak untuk berinisiatif. 

Kebebasan berkomputer dari sudut inisiatif yang dicadangkan oleh Brian Harvey ialah kebebasan untuk mencipta sesuatu yang baru dengan menggunakan sebuah komputer. Para pengguna komputer perlu diberi kebebasan dari kesemua pihak untuk berinisiatif mencipta sesuatu yang baru. Beliau mahukan sebuah kebebasan dari segala konkongan tradisi, ataupun ikutan dari waktu dahulu tentang sesuatu perkara dengan penggunaan komputer. Inilah yang dirumuskan oleh Brian Harvey tentang kebebasan berkomputer dari segi kepelbagaian dan inisiatif.

Maka, jika kita lihat kembali kepada seksyen 8 Akta Jenayah Komputer 1997, peruntukan ini tidaklah menghalang kebebasan berkomputer serta juga tidaklah menyusahkan para pengguna komputer.
Hal ini kerana setelah kita kupas peruntukan ini dalam bab- bab yang sebelumnya, dapat kita lihat peruntukan ini dengan jelas hanya menyekat pemilikan sesuatu atur cara, data atau maklumat yang bukan milik mereka pada asalnya. Inilah fungsi utama peruntukan seksyen 8 ini.

Peruntukan ini dengan jelas meletakkan seseorang itu akan bertanggungan atas kesalahan capaian tanpa kuasa hanya apabila wujudnya atur cara, data atau maklumat yang bukan milik mereka dalam komputer milik mereka.

Walaupun hal ini sedikit sebanyak membebankan kesemua pemilik komputer kerana mereka  terpaksa menyelenggara dan memastikan komputer mereka tidak mempunyai apa- apa atur cara, data atau maklumat yang bukan milik mereka pada setiap masa, parkara ini pernting kerana hal ini memastikan kebebasan privasi mereka juga tidak dicemari oleh orang lain.

Kenyataan yang mengatakan apabila wujudnya seksyen 8 Akta Jenayah Komputer 1997 menyekat kebebasan komputer adalah tidak berasas. Hal ini kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Peruntukan ini boleh mengelakkan daripada berlakunya capaian tanpa kuasa sesuatu atur cara, data atau maklumat milik para pengguna komputer daripada dicapai oleh orang- orang yang tidak bertanggungjawab ini.



[1] Ted Nelson, The Computer Lib Pledge,1978. “The purpose of computers is human freedom.''
[2] Brian Harvey dalam ucapannya di Second Annual Computer Conference di Lesley College, May 3, 1980

No comments:

Post a Comment